Sunday, June 8, 2008

Sejarah Pasukan 2 RAMD

1. Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu DiRaja telah ditubuhkan dengan rasminya pada 1 Dis 1941 dengan kekuatan seramai 453 orang di bawah pemerintahan Lt Kol F.W Young.



2. Penubuhan batalion ini dilakukan apabila keadaan perhubungan di antara negara-negara di Eropah semakin bergolak di mana satu ketumbukan tentera dikerahkan ke Tanah Melayu iaitu dari “12th Indian Infantry Brigade” yang tiba pada bulan Ogos 1939. Kedatangan mereka disambut baik, tetapi kerajaan British di Tanah Melayu mendesak pemimpin mereka untuk mengembangkan lagi Rejimen Askar Melayu DiRaja, memandangkan tentera dari golongan anak watan mempunyai semangat juang yang tinggi bagi mempertahankan Tanah Melayu berbanding dengan tentera-tentera ‘Commonwealth’. Desakan yang dibuat tidak diendahkan sehinggalah tercetusnya peperangan di Eropah pada bulan Sep 1939, di mana pada waktu itu Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu DiRaja baru berusia 4 tahun.

3. Setelah kekuatan Rejimen Askar Melayu DiRaja bertambah, program latihan telah dirombak agar ianya bersesuaian dengan objektif penubuhannya. Rejimen ini juga mendapat tambahan kekuatan senjata seperti Mortar 3 inci, ‘Rifle’ anti kereta kebal dan senjata-senjata moden yang lain. Anggota-anggotanya dihantar untuk menghadiri pelbagai kursus yang dirancang oleh ‘Headquarters Malaya Command’. Satu ‘Carrier Platoon’ telah ditubuhkan pada awal bulan Ogos 1941 di bawah pemerinthan Kapt R.R.C Carter dan memulakan latihannya di bawah ‘2nd Royal Regiment’

4. Hasil dari pelaksanaan tugas memuaskan yang telah ditunjukkan oleh Rejimen Askar Melayu DiRaja, maka satu kompeni baru telah ditubuhkan iaitu dikenali sebagai ‘W’ Kompeni di bawah pemerintahan Kapt W. Richardson. Kompeni ini telah dihantar ke Kampung Pergau, Kelantan pada Ogos 1941 seterusnya bergelar Kompeni A kepada Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu DiRaja. Daripada pengkalan ini, wujudlah satu kem tentera di Sungai Pergau. Penubuhan Batalion Sungai Pergau telah dijadikan satu tempat untuk mengintip kawasan sempadan Thailand bagi tujuan untuk mengelakkan penyusupan tentera Jepun masuk ke Tanah Melayu dari Negara Thailand.

5. Pada waktu yang sama, di atas gesaan rakyat Tanah Melayu, Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu telah mengumumkan keputusan untuk membesarkan Rejimen Askar Melayu DiRaja kepada dua Batalion. Keputusan ini telah dicapai di mana nukleus dari Batalion Pertama ini telah ditukarkan ke Batalion Kedua. Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu DiRaja ditubuhkan dengan rasminya pada 1 Dis 1941. Genap seminggu sahaja Batalion ini ditubuhkan, Tanah Melayu diserang oleh Tentera Jepun.

Selamat Datang

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Selamat Datang ke Blog Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja. Anda akan didedahkan dengan pelbagai maklumat berkenaan pasukan ini.

Salam Harimau Malaya.